Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis
sahih :
Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari
akhirat.
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah
S.A.W. bersabda:
“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat
sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Al-Quran sebagai pembela
(mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku
mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan
al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului
dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah (
mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan
mengajarkan al-Quran.
Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah
S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari
al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Keempat : Membaca al-Quran dan susah
menyebutnya mendapat dua pahala.
Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W.
: “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua
pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama
buah yang harum dan sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah
S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah
Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang
mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya
manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah
(sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang
tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keenam : Allah SWT mengangkat martabat
golongan yang membaca al-Quran.
Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad
S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan
merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)
Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang
al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah
bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara :
Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan
ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu
dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelapan : Membaca al-Quran akan mendapat
ketenangan (sakinah)
Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata :
“Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat
dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan
kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi
Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda :
Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesembilan : Sesiapa yang tidak mengingati
ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang roboh.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W.
bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun
daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan
beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Kesepuluh : Membaca dan memperelokkan bacaan
al-Quran akan mendapat kebaikannya.
Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad
S.A.W. bersabda :
“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca
al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana
engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan
ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan
Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )
Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik
daripada mendapat unta yang gemuk.
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah
S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau
bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap
hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang
gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan
silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W
: “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran
lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat
lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan
ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran
lebih layak menjadi imam solat berjemaah.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda
: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang
terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )
Ketiga belas : Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling
kuat berpegang teguh kepada al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W.
menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda
bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh
dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya
maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari,
Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)
Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.
Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan
qari yang sedang membaca al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia
kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :
“Barangsiapa yang membaca al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan al-Quran
maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka
berdoa dengannya”.
(Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)
Kelima belas : Setiap satu huruf membaca al-Quran akan
mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang
membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan
menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah
satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis
Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)
Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk
membersihkan jiwa dan menyinarkannya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu
Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : “Hati manusia
akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air”. Apakah cara untuk
menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi Dengan banyak mengingati
mati dan membaca al-Quran.”