Sabtu, 31 Julai 2010

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Info Ramadhan 2

FADHILAT PUASA

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Info Ramadhan 1

PENGERTIAN PUASA

Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari disertai dengan niat pada malamnya.

PUASA WAJIB
Puasa di bulan Ramadhan
Puasa Kifarat
Puasa Nazar

PUASA SUNAT
Puasa enam hari pada bulan Syawal
Puasa hari Arafah
Puasa hari Asyura pada 10 Muharam
Puasa bulan Syaaban
Puasa Isnin dan Khamis
Puasa tengah bulan iaitu 13, 14, 15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun hijrah)

PUASA MAKRUH
Puasa yang terus menerus sepanjang masa
Tidak termasuk dua hari raya dan hari tasyriq

PUASA HARAM
Puasa pada hari raya pertama Aidil Fitri
Puasa pada hari raya pertama Aidil Adha
Puasa tiga hari sesudah hari raya Aidil Adha atau hari tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah

sumber : Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Kalkulator Fidyah

Bayaran fidyah boleh dikira menggunakan Kalkulator Fidyah melalui laman web berikut:

http://www.e-zakat.com.my/baru/ibadah/kalkulator_fidyah.asp

Rabu, 28 Julai 2010

minyak kelapa sawit boleh digunakan sebagai minyak pelincir untuk kenderaan anda?

Dipetik dari
PERCAYAKAH anda bahawa minyak masak berasaskan minyak kelapa sawit boleh digunakan sebagai minyak pelincir untuk kenderaan anda?

Malahan sudah terdapat segelintir penduduk di Negeri Sembilan menggunakan minyak masak sebagai minyak pelincir atau minyak hitam untuk kereta mereka tanpa menghadapi sebarang masalah.

Pengurus Pemasaran Sekolah Golf Michael Ismail, Nik Safian Afzani Omar berkata, beliau telah menggunakan minyak masak yang dibeli pada harga RM2.50 sepaket untuk enjin kereta Kancilnya.

"Kancil saya menggunakan tiga liter minyak hitam. Jadi, saya tuang dua paket setengah minyak masak untuk menyamai kuantiti itu. Dahulu, kalau servis minyak hitam, saya berhabis sehingga RM130, tetapi sekarang kurang RM10," katanya.

Jika dahulu beliau menggunakan minyak hitam semi sentitik jenama Castrol, kini Nik Safian Afzani menggunakan 'minyak hitam' yang dibelinya dari sebuah pasar raya.

Menurutnya, selepas menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam, suhu enjinnya sangat rendah dan meter suhu tidak pernah lebih dari satu takuk.

Nik Safian berkata, ketika menghantar kereta ke sebuah bengkel kenderaan untuk ditukar penapis minyak, pekerja bengkel tersebut terkejut apabila mendapati keretanya menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam tetapi mengakui ini merupakan alternatif terbaik sebab harga minyak pelincir pada hari ini sudah naik.

Sementara itu, pencipta alat penjimat minyak kereta berasaskan gas hidrogen dan air, Hisham Abdullah, 43, turut menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam untuk kereta Proton Iswaranya.

Beliau sudah menggunakan bahan itu setahun yang lepas dan mendapati tidak ada kesan negatif menimpa keretanya.

Bekas jurutera sebuah syarikat Jepun serta graduan dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan dari Universiti Arkansas, Amerika Syarikat itu berkata: "Minyak kelapa sawit merupakan minyak paling sentitik, tetapi kita tidak tahu mengenainya."

Mekanik kereta, Mohd Tajuddin Jalil pula, mula mengetahui mengenai rahsia minyak masak sebagai ganti minyak hitam kira-kira dua tahun lalu selepas bertemu dengan seorang pakar minyak dari luar negara.

Sejak itu, beliau menggunakan minyak masak berasaskan kelapa sawit sebagai minyak hitam keretanya, malahan beliau mengenali 67 pengguna kereta di Negeri Sembilan yang menggunakan minyak masak sebagai pelincir enjin kereta mereka.

"Hanya minyak masak berasaskan kelapa sawit sahaja boleh digunakan sebagai minyak hitam. Jangan pakai minyak masak berasaskan jagung, sayuran atau kacang kerana minyak ini pada suhu sejuk akan menjadi beku," katanya.

Katanya, harga minyak hitam keluaran pelbagai syarikat kini meningkat dengan sebotol empat liter minyak hitam semi sentitik kini berharga RM160 dan minyak sentitik sepenuhnya, mencecah RM200.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya menukar gasket kereta mereka kepada jenama yang lebih baik sebelum menggunakan minyak masak sebagai pelincir enjin kereta.

Kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia minyak masak boleh melayari http://ilmurahsia.name.my

Bernama