Khamis, 2 Ogos 2012

Sujud Syukur



                                 

1)            PENGERTIAN SUJUD SYUKUR
Sujud syukur dari segi syarak ialah suatu sujud (sujud terima kasih) yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau terhindar dari bencana.
2) SEBAB-SEBAB SUJUD SYUKUR
Secara umumnya sujud syukur itu dilakukan apabila seorang hamba itu mendapat nikmat atau terhindar dari suatu bencana atau mendapatkan kembali sesuatu yang telah hilang atau selamat dari merbahaya.
Dalam hal ini hukum sujud syukur menurut mazhab Syafii dan Hanbali adalah sunat, sama ada nikmat yang diperolehi atau bencana yang dialami itu khas bagi dirinya atau am bagi semua umat Islam, seperti kemenangan ke atas musuh, hilangnya wabak yang merbahaya dan sebagainya. Tetapi terdapat suatu pandangan dikalangan mazhab Hanbali bahawa sujud syukur hanya dilakukan bagi nikmat yang sifatnya umum untuk semua umat Islam dan bukan untuk nikmat yang khas.
3) SYARAT-SYARAT SUJUD SYUKUR
Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali disyaratkan sepertimana hendak melakukan solat iaitu thaharah, suci daripada hadas kecil ataupun besar, mengadap kiblat dan menutup aurat.
4) KAIFIAT SUJUD SYUKUR
Cara pelaksanaanya adalah sebagai berikut:
1) Mengadap kiblat
2) Bertakbir kemudian sujud sekali dengan membaca doa sepertimana doa sujud di dalam solat.
3) Bertakbir sekali lagi untuk bangkit daripada sujud, kemudian salam tanpa membaca doa tasyahud.
(untuk salam boleh dilakukan sekali)
5) HUKUM SUJUD SYUKUR DI DALAM SOLAT
Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali bahawa sujud syukur tidak dibenarkan dilakukan di dalm solat kerana ianya termasuk dalam katogeri sujud di luar solat. Apabila dikerjakan maka solatnya dianggap batal kecuali dalam keadaan jahil atau lupa.
6) HUKUM SUJUD SYUKUR PADA WAKTU YANG DILARANG
MENGERJAKAN SOLAT

Makruh hukumnya mengerjakan sujud Syukur pada waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat seperti selepas solat Subuh atau selepas solat Asar. Meskipun pada ketika itu berlaku sebab-sebab yang membolehkan mengerjakan solat sunat. Begitu juga tidak dibenarkan mengerjakan sujud syukur ketika mendengar khutbah Jumaat.
7) RUKUN SUJUD SYUKUR
1) Berniat untuk sujud syukur
2) Membaca takbiratul ihram ketika hendak sujud
3) Satu kali sujud
4) Memberi salam sesudah sujud
8) PENUTUP
Mudah-mudahan akan dapat sama-sama laksanakan sujud syukur ini dalam kehidupan kita seharian sebagai salah satu lambing ketaatan dan kesyukuran kita kepada Allah SWT, pemberi rezeki.