Khamis, 28 Jun 2018

FADHILAT ATAU KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN




Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :
Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Keempat : Membaca al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.
Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.
Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)

Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelapan : Membaca al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)
Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang roboh.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)

Kesepuluh : Membaca dan memperelokkan bacaan al-Quran akan mendapat kebaikannya.
Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )

Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )

Ketiga belas : Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)

Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.
Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang membaca al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.
(Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)

Kelima belas : Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : “Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air”. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

Kelebihan Tasbih, Tahmid, Tahlil & Takbir



1)  Sabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:
“Sesiapa yang membaca:
ِسُبْحَانَ اللهِ وَ بِحَمْدِه
(Maha Suci ALLAH dan bagiNYA segala pujian)
setiap hari 100 kali, dihapuskan kesalahannya walaupun sebanyak buih di laut.”
–  HR al-Bukhari (7/168), Muslim dengan lafaznya (4/2071)
2)  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang membaca:
ُلاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه
ُلَهُ الْمُلْكُ, وَلَهُ الْحَمْد
ٌوَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر
 (Tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH Yang Esa, tiada sekutu bagiNYA, bagiNYA kerajaan dan bagiNYA kepujian dan DIA berkuasa ke atas setiap sesuatu)
10 kali, bagiNYA pahala seperti mereka yang memerdekakan empat orang daripada keturunan Nabi Ismail `alaihissalam.”
–  HR al-Bukhari (7/168), Muslim (4/2072)
3)  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Dua kalimah yang ringan di lidah, berat di atas neraca timbangan dan disukai oleh TUHAN Yang Maha Pengasih ialah:
ِسُبْحَانَ اللهِ وَ بِحَمْدِه
(Maha Suci ALLAH dan bagiNYA segala pujian)
ِسُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْم
(Maha Suci ALLAH Yang Maha Agung)
–  HR al-Bukhari (7/168), Muslim (4/2072)
4)  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya aku membaca:
ُسُبْحَانَ اللهِ, وَالْحَمْدُلِلَّهِ, وَلاَ اِلَهَ اِلاَ اللهِ, وَاللهُ اَكْبَر
(Maha Suci ALLAH, dan bagiNYA segala kepujian, dan Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH, dan ALLAH Maha Besar)
lebih aku sukai dari semua yang disinari oleh matahari ke atasnya.”
–  HR Muslim 4/2072
5)  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Apakah kamu lemah untuk melakukan 1000 kebaikan setiap hari?”
Salah seorang dari sahabat yang ada bersama Baginda bertanya:  “Bagaimana kami boleh melakukan 1000 kebaikan?”
Baginda sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Ucaplah tasbih 100 kali nescaya ditulis baginya 1000 kebaikan atau dihapuskan darinya 1000 kesalahan”
–  HR Muslim 4/2073
6)  Sabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bermaksud:
“Sesiapa yang membaca:
ِسُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِه
(Maha Suci ALLAH yang Maha Agung dan bagiNYA segala kepujian)
nescaya ditanam baginya sepohon kurma di dalam Syurga.”
–  HR At-Tirmidzi 5/511, Al-Hakim mentashihkannya dan disokong oleh az-Zahabi 1/501.  Lihat:  Sahih al-Jami` 5/531, Sahih at-Tirmidzi 3/160
7)  Sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang bermaksud:
“Wahai `Abdullah bin Qais, hendakkah aku tunjukkan kepadamu perbendaharaan Syurga?”  Jawabnya:  “Mahu, wahai Rasulullah!”  Sabda Baginda:  “Ucaplah:
ِلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِالله
(Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan ALLAH)”
–  HR  al-Bukhari serta Fathul Bari 11/213, Muslim 4/2076.
8)  Sabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang maksudnya:
“Ucapan yang paling disukai oleh ALLAH ialah empat:
ُسُبْحَانَ اللهِ, وَالْحَمْدُ لِلهِ, وَلاَ اِلَهَ اِلاَ اللهِ, وَاللهُ اَكْبَر
(Maha Suci ALLAH, dan bagiNYA segala kepujian, dan Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH, dan ALLAH Maha Besar)
Tiada masalah sekiranya kamu mulai dengan salah satu daripadanya dan diikuti dengan yang lainnya.”
–  HR Muslim 3/1685

4 ucapan yang paling disukai ALLAH
Semoga beberapa petikan hadith mengenai kelebihan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir yang disalin dari kitab kecil berjudul Hisnul Muslim di atas dapat diambil bekal buat kita untuk dijadikan amalan seharian.  Moga-moga ALLAH Ta`ala memberikan hidayah dan taufiq buat kita dalam istiqamah beribadah kepadaNYA, amin…
Advertisements


Ahad, 12 Mei 2013

Subhanallah - Lubang Hitam Menelan Bintang, Pertama Kali Dirakam Oleh Kamera



Posted by Al-Azrul ZakuanSunday, 12 May 20131 comments

Nuffnang Ads

Subhanallah - Lubang Hitam Menelan Bintang, Pertama Kali Dirakam Oleh Kamera | Jet kosmik yang menakjubkan dari lohong hitam @ lubang hitam (Black Hole) yang sangat besar di angkasalepas telah menghancurkan kemudian menelan bintang, telah dirakam oleh kamera buat kali pertama.

Kejadian yang jarang berlaku itu (salah satu dari kuasa-kuasa yang paling berkuasa dalam alam semesta) menunjukkan aliran plasma menuang keluar dari ruang raksasa seperti hantu di pusat galaksi yang jauhnya hampir empat bilion tahun cahaya dari Bumi.

Bermulanya paparan yang menakjubkan ini disebabkan oleh serpihan bintang yang digunakan oleh lohong hitam tidak pernah diperhatikan sebelum ini.

Dikenali secara saintifik sebagai 'jet kerelatifan', mereka boleh mencapai beratus-ratus ribu tahun cahaya panjang.

Kebanyakan galaksi mempunyai lubang hitam super-besar (suatu ruang yang menghisap ke dalam segala-galanya yang berdekatan dengan tarikan graviti yang kuat) di teras masing-masing, dengan berjuta-juta malah berbilion-bilion banyaknya matahari.

Kemusnahan bintang itu telah dikesan oleh Teleskop Swift pada bulan Mac selepas ia merayau terlalu dekat dengan lubang hitam yang besar itu.

Dr David Burrows dan pasukan ahli sains di Universiti Pennsylvania State berkata analisis kimia cahaya ultraungu yang cerah itu menunjukkan ia datang dari bahan yang disedut ke dalam lubang hitam yang bersaiz berjuta-juta matahari.

Menulis dalam jurnal Nature, pasukan itu melaporkan: 'Kami menyimpulkan bahawa kami telah menangkap permulaan aktiviti jet kerelatifan dari lubang hitam super besar itu.'

Kejadian menelan bintang oleh lubang hitam hanya berlaku sekali dalam setiap 100 juta tahun di dalam galaksi. Lubang hitam kini dipercayai akan menjadi lebih kuat kerana jisim tambahan dari bintang yang ditelan.

Penelanan jisim besar seperti bintang atau lain-lain lubang hitam, memberi pertumbuhan kepada lubang hitam dan melahirkan kewujudan lubang super-besar. Lubang hitam super-besar mungkin mengandungi sehingga berbilion-bilion jisim solar. 

Secara perbandingan, matahari hanya salah satu jisim solar dan Bumi adalah 1 / 332, 950 jisim solar.

[Daily Mail , Unikversiti]

Isnin, 18 Mac 2013

Penemuan Baru Struktur Terbesar Alam.



 
Ungkap Rahsia Yang Maha Agung     
LONDON - Ahli-ahli astronomi menemui struktur terbesar di alam semesta yang terdiri daripada beberapa kuasar amat besar sehingga masa empat bilion tahun diperlukan untuk merentasinya pada kelajuan cahaya.
Penemuan yang dibuat oleh ahli-ahli akademik Universiti Lancashire Pusat, Britain itu disiarkan dalam jurnal Notices of the Royal Astronomical Societydan dilaporkan dalam laman web persatuan berkenaan kelmarin.

Kuasar merupakan objek paling terang dan bersinar di alam semesta dengan cahayanya terpancar dari pusat sejumlah galaksi sejak awal kewujudan cakerawala. Cahaya kuasar dapat dilihat dari jarak beberapa bilion tahun cahaya.

"Sejak tahun 1982 ahli-ahli sains mendapati kuasar cenderung terbentuk secara berkelompok sekali gus membentuk struktur besar yang terdiri daripada gugusan kuasar besar atau LQG," kata persatuan itu.

Menurutnya, gugusan kuasar yang baru ditemui itu memiliki dimensi 500 megaparsek dengan setiap megaparsek bersamaan jarak 3.3 juta tahun cahaya. Berikutan LQG berbentuk memanjang, dimensi paling panjang gugusan kuasar itu berukuran 1,200 megaparsek atau empat bilion tahun cahaya.

Saiz tersebut adalah 1,600 kali ganda jarak dari Galaksi Bima Sakti ke galaksi paling hampir, Andromeda.
Bumi terkandung dalam Galaksi Bima Sakti. - Reuters

Komen Ibnu Hasyim: Ali bin Abi Thalib disifatkan sebagai gedung atau kunci ilmu, bila berjumpai sesuatu ilmu yang baru, terasa dia rupanya masih sedikit ilmunya. Allhu akbar, begitu Agungnya Allah dan dalamnya lautan ilmuNya.

Penemuan Saintis, Daun Bertasbih Menuji NYA



UNGKAP RAHSIA YANG MAHA AGUNG   

SEBUAH majalah sains terkenal, Journal of Plant Molecular Biologies, menyebutkan bahawa sekumpulan ilmuwan yang membuat kajian mendapatisuara halus keluar dari sebahagian tumbuhan yang tidak dapat didengar oleh telinga biasa. Suara tersebut berjaya disimpan dan dirakam dengan sebuah alat perekam tercanggih yang pernah ada.

Ilmuwan itu selama hampir 3 tahun meneliti fenomena yang mencengangkan ini berhasil menganalisis denyutan atau detik suara tersebut sehingga menjadi isyarat-isyarat yang bersifat cahaya elektrik (kahrudhoiyah ) dengan sebuah alat canggih yang bernama Oscilloscope. Akhirnya mereka dapat menyaksikan denyutan cahaya elektrik itu berulang lebih dari 1000 kali dalam satu detik!

Prof. William Brown yang memimpin para pakar sains untuk mengkaji fenomena tersebut mengisyaratkan setelah dicapainya hasil bahawa 'tidak ada penafsiran ilmiah' atas fenomena tersebut. Padahal seperti diakui oleh  profesor, pihaknya telah menyerahkan hasil penelitian mereka kepada universiti-universiti serta pusat-pusat kajian di Amerika juga Eropah. Tetapi semuanya tidak sanggup menafsirkan fenomena itu, bahkan semuanya tercengang tidak tahu berkomentar apa-apa lagi.

Pada kesempatan terakhir, fenomena tersebut dihadapkan dan dikaji oleh para pakar dari Britain, dan di antara mereka ada seorang ilmuwan Muslim yang berasal dari India. Setelah 5 hari mengadakan kajian dan penelitian ternyata para ilmuwan dari Inggeris tersebut angkat tangan. Maka ilmuwan Muslim tersebut mengatakan: 

“Kami umat Islam tahu tafsir dan makna dari fenomena ini, bahkan semenjak1,400 tahun yang lalu!”
 
Maka para ilmuwan yang hadir pun tersentak dengan pernyataan tersebut, dan meminta dengan sangat untuk menunjukkan tafsir dan makna dari kejadian iti. lmuwan Muslim segera memetik firman Allah SWT

  • “…Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.” (QS. Al-Isra`: 44)
Tidaklah suara denyutan halus tersebut melainkan lafazh jalalah (nama Allah) sebagaimana tampak dalam layar. Maka keheningan dan kehairanan yang luar biasa menghiasi aula di mana ilmuwan Muslim tersebut berkata.
  • Subhanallah, Maha suci Allah! Ini adalah salah satu mukjizat dari sekian banyak mukjizat agama yang haq ini! Segala sesuatu bertasbih mengagungkan nama Allah. 
Akhirnya orang yang bertanggung jawab terhadap penelitian pengkajian ini,iaitu profesor William Brown menemui ilmuwan Muslim itu berdiskusi tentang agama yang di bawa oleh seorang Nabi yang ummi (tidak dapat baca tulis) sebelum 1,400 tahun lalu tentang fenomena ini. Maka ilmuwan tersebut pun menerangkan kepadanya tentang Islam, setelah itu ia memberikan hadiah al-Qur`an dan terjemahnya kepada profesor itu.
 
Selang beberapa hari setelah itu, profesor William mengadakan ceramah di Universiti Carnich – Miloun, ia mengatakan: 

“Dalam hidupku, aku belum pernah menemui fenomena semacam ini selama 30 tahun menekuni pekerjaan ini, dan tidak ada seorang ilmuwan pun dari mereka yang melakukan pengkajian yang sanggup menafsirkan apa makna dari fenomena ini. Begitu pula tidak pernah ditemui kejadian alam yang bisa menafsirinya. Tetapi satu-satunya tafsir yang dapat kita temukan adalah dalam al-Qur`an. 

Hal ini tidak memberikan pilihan lain buatku selain mengucapkan syahadatain: “Aku bersaksi bahawa tidak ada ilah yang haq melainkan Allah, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusannya!”
 
Seorang profesor ini telah mengumumkan Islamnya di hadapan para hadirin yang sedang terperangah. Allahu akbar! Kemuliaan hanyalah bagi Islam, ketika seorang ilmuwan sedar dari kelalaiannya, dan mengetahui bahawa agama yang haq ini adalah Islam! (IH/DZ/Faiz) 

Rabu, 13 Mac 2013

Hukum Lelaki Memakai Suasa


Hukum Lelaki Memakai Suasa

by ADMIN on DECEMBER 29, 2012


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
1.JAWAPAN DARI JAKIM
Soalan : Assalamualaikum WBTH.
Tuan Panel, saya ingin mengetahui apakah hukumnya lelaki memakai cincin suasa yang bertatahkan berlian. Saya bercadang membelinya untuk perkahwinan saya. Saya keliru sebab ada yang mengatakan boleh dan tidak kurang juga mengatakan haram. Jika ianya haram apakah alternatifnya. Mohon penjelasan para panel yang budiman. Sekian, terima kasih..
Jawapan :
Memakai cincin menurut sunnah yang diperbuat daripada perak adalah harus bagi lelaki. Manakala bagi perempuan harus memakai cincin yang diperbuat daripada emas. Rasulullah SAW pernah memakai cincin diperbuat daripada perak sehingga baginda wafat. Baginda melarang memakai cincin emas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi bermaksud:
“Rasulullah SAW melarang daripada memakai cincin emas”.
Cincin suasa adalah campuran daripada dua unsur logam iaitu emas dan perak. Oleh kerana cincin suasa campuran emas lebih daripada perak maka ia dihukumkan emas dan haram dipakai oleh kaum lelaki.
Menurut laporan Mesyuarat Panel Kajian Syariah JAKIM kali ke 31 pada 2-4 Oktober 2000mengenai hukum memakai suasa bagi lelaki adalah HARAM.
Panel menasihati agar pengantin lelaki memakai cincin perak atau platinum.
Nota:
  1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
  2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu soalan sahaja.
  3. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.

2. JAWAPAN DARI UST. AZHAR IDRUS(ustazazhar.com)
SOALAN:
Assalamualaikum.. Apa hukum org lelaki memakai cincin suasa? Ada pendapat mengatakan haram. minta penjelasan dari ustaz.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam.. Apa yang saya ketahui hukum memakai cincin suasa bagi orang lelaki adalah haram kerana ia diperbuat daripada emas yang bercampur dengan logam lain. Samalah seperti haramnya lelaki memakai emas putih seklipun emas putih itu bukan 100% diperbuat daripada emas.
Kata Imam Nawawi dalam kitab Syarah Muslim yg bermaksud:
“Emas itu adalah haram atas lelaki memakainya samdaa emasnya sedikit atau banyak.”
Syeikh Abd Qadir Al-Mandili menyebut dalam fatwanya :
“Dan adalah suasa itu haramlah bagi kaum lelaki memakainya.”
Rujukan:
Kitab Fatwa Syeikh Abd Qadir , Fatawa Mufti Negeri Johor dan Pelita Penuntut.

3.Fatwa Daripada Kerajaan Brunei Darussalam
#Barang-barang kemas daripada emas suasa#
Emas suasa ialah pancalogam atau campuran daripada emas dan tembaga.
Barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas suasa, seperti cincin, gelang, kalung dan sebagainya adalah termasuk di antara barang-barang yang diharamkan bagi kaum laki-laki memakainya, kerana perhiasan emas yang diharamkan itu tidak kira sama ada ianya terdiri daripada emas semata-mata (tidak bercampur dengan benda yang lain) ataupun sebahagiannya daripada emas dan sebahagian lagi daripada benda yang lain (bercampur). Sedangkan zat emas itu terdapat pada emas suasa. Di samping itu, terdapat unsur bermegah-megah dan membanggakan diri dengan memakai emas suasa itu. (Tuhfah 1/118-119, Al-Raniri, Sirat al-Mustaqim m.s. 25, Fatwa siri 4/86)
Al-‘Allamah asy-Syeikh Nuuruddin Muhammad Jilani ar-Raniri di dalam kitabnya Sirat al-Mustaqim menjelaskan: “Dan demikian lagi, haram memakai suasa…..”(M.s. 25)
Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz pernah ditanya mengenai hukum orang laki-laki memakai rantai leher, gelang tangan, cincin yang dibuat daripada suasa. Beliau menjelaskan:
“Haram di atas laki-laki memakai barang-barang kemas dari emas seperti cincin dan juga dari suasa, kerana suasa itu suatu logam yang terjadi dari emas dan suasa. Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Minhaj: “Halal digunakan tiap-tiap bejana yang suci, melainkan bejana yang diperbuat dari emas atau perak adalah haram digunakan.”
Kata al-Imam Ibnu Hajar lepas matn al-Minhaj ini: “Semuanya atau setengahnya dari salah satu dari keduanya (emas dan perak) atau dari keduanya.”
Berkata al-Imam Ibnu Hajar, sebab diharamkan ialah kerana ‘ain (emas ada pada suasa itu), dengan syarat ada khuyala’ iaitu bermegah-megah dan membesarkan diri dengan memakai suasa itu.
Berkata ulama: “Kerana warna yang ada pada suasa itu warna kuning, sekalipun sedikit pada pandangannya, tetapi warna kuning itu tiada sepenuhnya bahkan warna kuning bercampur dan bersulam dengan warna merah dan ada khuyala’ pada memakai suasa seperti ada khuyala’ pada memakai emas.”
Oleh yang demikian memakai cincin dari suasa adalah haram, apatah lagi kalau cincin itu dibuat dengan semata-mata emas.” (Fatwa siri 4/86)

4. JAWAPAN DARI JABATAN MUFTI KEDAH
Soalan:
Apakah hukum memakai cincin suasa?
Jawapan:
Menurut kenyataan dan perakuan daripada tukang-tukang emas beragama Islam yang ada kepercayaan dan mempunyai pengalaman dan pengetahuan terhadap jenis-jenis logam yang diperbuat hiasan adalah suasa itu sejenis logam yang diadun dari berbagai-bagai logam menurut kadar dan peratus yang tertentu iaitu:
1. Tembaga 70%
2. Emas 20%
3. Perak 10%
Logam ini setelah diadun dan dicampur dengan cara-cara yang tertentu akan beroleh menjadi sejenis logam yang dikenali sekarang ini sebagai suasa dan suasa ini menurut perakuan dari tukang-tukang emas tersebut apabila dilebur kali pertama maka unsur-unsur emas di dalamnya tiada dapat dikesan lagi dan apabila dilebur pada kali kedua akan berubah menjadi tembaga.
Menurut pendapat fuqaha’ adalah halal bagi lelaki memakai cincin daripada logam yang ” مموه” iaitu yang bersadur atau bercampur dengan emas yang sekiranya dileburkan emas itu tiada dapat dikesan lagi dan jika dapat dikesan halal bagi orang-orang perempuan sahaja iaitu tertentu pada barang-barang hiasan mereka tiada pada barang-barang lain, walaubagaimana pun perbuatan menyadur atau mencampur itu adalah haram sekalipun bagi perhiasan-hiasan perempuan kerana terdapat padanya pembaziran.
Rujuk nas Tuhfah Muhtaj Bi Syarh Al-Manhaj juzuk 1 hlmn 122.
Negara asal : Malaysia
Negeri : Kedah
Badan yang mengisu fatwa :Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
Penulis/Ulama : Mufti Kerajaan Negeri Kedah
WALLAHUA’LAM

Sumber: http://ustaznaim.blogspot.com/

Sabtu, 22 Disember 2012

10 Perkara yang menghapuskan dosa



Pertama: Taubat.

Kedua: Istighfar (Mohon ampunan pada Allah).

Ketiga: Amalan kebaikan sebagai pelebur dosa.

Keempat: Do’a sesama orang beriman kepada lainnya seperti melalui shalat jenazah.

Kelima: Amalan kebaikan yang ditujukan untuk Si Mati.

Keenam: Syafa’at Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan yang lainnya pada pelaku ( dosa besar) di  

                 hari kiamat kelak.

Ketujuh: Musibah di dunia yang menjadi sebab terhapusnya dosa.

Kelapan: Ujuan di alam kubur, juga siksaan dan kenikmatan yang menjadi sebab terhapusnya dosa-dosanya.

Kesembilan: Kengerian dan kesulitan pada hari kiamat.

Kesepuluh: Rahmat dan ampunan dari Allah tanpa sebab yang dilakukan oleh hamba.

Jumaat, 21 Disember 2012

DOA MUSTAJAB PELINDUNG KECURIAN

أستَودِعُكَ اللهَ الذي لا تَضيعُ وَدائعُه

ASTAUDI UKALLAHA LLAZI LA TADHII'U WADAA'I 'UHU

Aku letakan kamu dalam pemeliharaan Allah yang tidak akan hilang apa juga yang ada didalam pemeliharaannya.


Hendaklah dibaca dengan memahami maksudnya pada harta seperti rumah dan lain lain.

Jumaat, 19 Oktober 2012

8 Golongan Doanya Sangat Mustajab


8 Golongan Doanya Sangat Mustajab

  1. Orang berada dalam kesusahan.
  2. Orang yang dalam keadaan keluh-kesah.
  3. Ibu bapa mendoakan untuk anaknya.
  4. Doa Imam yang adil.
  5. Doa orang-orang soleh.
  6. Doa orang dalam musafir kerana Allah.
  7. Doa seoarang anak yang sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapanya.
  8. Doa orang berpuasa ketika berbuka puasa.

Khamis, 2 Ogos 2012

Sujud Syukur



                                 

1)            PENGERTIAN SUJUD SYUKUR
Sujud syukur dari segi syarak ialah suatu sujud (sujud terima kasih) yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau terhindar dari bencana.
2) SEBAB-SEBAB SUJUD SYUKUR
Secara umumnya sujud syukur itu dilakukan apabila seorang hamba itu mendapat nikmat atau terhindar dari suatu bencana atau mendapatkan kembali sesuatu yang telah hilang atau selamat dari merbahaya.
Dalam hal ini hukum sujud syukur menurut mazhab Syafii dan Hanbali adalah sunat, sama ada nikmat yang diperolehi atau bencana yang dialami itu khas bagi dirinya atau am bagi semua umat Islam, seperti kemenangan ke atas musuh, hilangnya wabak yang merbahaya dan sebagainya. Tetapi terdapat suatu pandangan dikalangan mazhab Hanbali bahawa sujud syukur hanya dilakukan bagi nikmat yang sifatnya umum untuk semua umat Islam dan bukan untuk nikmat yang khas.
3) SYARAT-SYARAT SUJUD SYUKUR
Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali disyaratkan sepertimana hendak melakukan solat iaitu thaharah, suci daripada hadas kecil ataupun besar, mengadap kiblat dan menutup aurat.
4) KAIFIAT SUJUD SYUKUR
Cara pelaksanaanya adalah sebagai berikut:
1) Mengadap kiblat
2) Bertakbir kemudian sujud sekali dengan membaca doa sepertimana doa sujud di dalam solat.
3) Bertakbir sekali lagi untuk bangkit daripada sujud, kemudian salam tanpa membaca doa tasyahud.
(untuk salam boleh dilakukan sekali)
5) HUKUM SUJUD SYUKUR DI DALAM SOLAT
Menurut mazhab Syafi'e dan Hanbali bahawa sujud syukur tidak dibenarkan dilakukan di dalm solat kerana ianya termasuk dalam katogeri sujud di luar solat. Apabila dikerjakan maka solatnya dianggap batal kecuali dalam keadaan jahil atau lupa.
6) HUKUM SUJUD SYUKUR PADA WAKTU YANG DILARANG
MENGERJAKAN SOLAT

Makruh hukumnya mengerjakan sujud Syukur pada waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat seperti selepas solat Subuh atau selepas solat Asar. Meskipun pada ketika itu berlaku sebab-sebab yang membolehkan mengerjakan solat sunat. Begitu juga tidak dibenarkan mengerjakan sujud syukur ketika mendengar khutbah Jumaat.
7) RUKUN SUJUD SYUKUR
1) Berniat untuk sujud syukur
2) Membaca takbiratul ihram ketika hendak sujud
3) Satu kali sujud
4) Memberi salam sesudah sujud
8) PENUTUP
Mudah-mudahan akan dapat sama-sama laksanakan sujud syukur ini dalam kehidupan kita seharian sebagai salah satu lambing ketaatan dan kesyukuran kita kepada Allah SWT, pemberi rezeki.

Rabu, 23 Mei 2012

20 Amalan Murah Rezeki


1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.